Kehidupan dan Kerjaya Sheila_Majid

Sejarah Awal

Lahir di Kuala Lumpur, Selangor (ketika itu) beliau merupakan yang paling bongsu dalam lapan adik-beradik. [1] Ketinggiannya berukuran 1.5 m (atau 4 kaki 11 inci). Beliau bersekolah di Convent Goodshepherd Kindergarten, Methodist Girls Primary School dan Methodist Secondary School yang kesemuanya bertempat di Kuala Lumpur, Malaysia. Pada 1989, beliau telah berkahwin dengan Roslan Aziz, seorang pemuzik terkenal tanah air. Beliau dikurniakan dua cahaya mata iaitu Wan Nur Khaleda dan Megat Abdul Majid Aziz, Sheila dan Roslan bercerai pada 1996. Selain itu, beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan Hashridz Murshim Hassim atau Acis, bekas pemain keyboard untuk kumpulan Gersang selepas dua tahun menjalin cinta. Mereka dinikahkan di hadapan Imam Masjid Damansara iaitu Wahid Amini pada 3 Jun 2003 pada pukul 11.47 pagi. Beliau telah menerima mas kahwin sebanyak RM 80, wang hantaran RM 20,000 tunai, dua bentuk cincin masing-masing yang bernilai RM 1,000 dan RM 5,000 serta kalung berharga RM 1,000. Mereka juga telah dikurniakan dua anak iaitu Khadeja Zaireen Murshim dan Khalefa Laila Murshim yang dilahirkan pada 28 April 2007.

Muzik merupakan sebahagian daripada kehidupan beliau dan keluarganya ketika semasa membesar. Menyanyi adalah bermula sebagai satu hobi oleh beliau. Beliau mula belajar bermain piano ketika berusia empat tahun. Beliau menyinar bersama bakatnya secara kebetulan iaitu ketika menyanyi di majlis salah seorang rakan ketika berusia 17 tahun. Pada ketika itu, bakatnya disedari oleh seorang pengeluar muzik yang tertarik dengan suaranya lantas menjemput beliau untuk satu uji bakat. Beliau telah diuji bakat oleh Roslan Aziz dan telah diberikan satu kontrak pada tahun 1982.

Permulaan Kerjaya

Setelah menandatangani satu kontrak pada tahun 1982, beliau mengambil masa selama tiga tahun untuk menyerlah pada tahun 1985 dengan kemunculan albumnya yang bertajuk ‘Dimensi Baru’, yang kemudiannya memenangi pengiktirafan emas. Seterusnya, menerusi album ‘Emosi’ yang dikeluarkan setahun berikutnya, menjadi suatu kelainan yang lebih ketara khususnya pada genre muzik yang diperkenalkan olehnya. Sentuhan muzik Jazz dan R&B yang ketara telah membuka minda masyarakat ketika itu untuk meneroka genre muzik, khususnya musik Jazz yang dipelopor olehnya. Menerusi album Emosi juga, Beliau telah mendapat kepakaran dari negara jiran, termasuk susunan dan ciptaan lagu. Justeru, beliau cuba untuk menguji pasaran di Indonesia. Ternyata usaha keras beliau bersama rakan-rakan yang menjadi tulang belakang kariernya menjadi tidak sia-sia kerana sambutannya sungguh di luar jangkaan. Nama beliau begitu megah di Indonesia dan menjadi idola masyarakat di negara tersebut. Walau bagaimanapun, tidak kurang juga mendapat kritikan hebat di kalangan pengamal media di Indonesia yang mempersoalkan kejayaannya. Namun, kuasa peminat adalah melebihi segala-galanya kerana beliau dapat menawan bandar-bandar utama di negara tersebut seperti Bandung, Jogjakarta, dan banyak lagi. Hasilnya, beliau telah memenangi ‘Anugerah BASF’ sebagai ‘Artis R&B Wanita Terbaik’ pada tahun 1987 yang tidak pernah sebelumnya dimenangi oleh artis bukan dari Indonesia. Kejayaannya di Indonesia telah diperkukuhkan lagi dengan konsert jelajah di seluruh negara pada tahun 1988.

Kejayaan beliau tidak hanya di negara jiran tersebut. Sekali lagi, nama beliau telah mencatat rekod muzik di Malaysia apabila kejayaannya merakamkan lagu di negara Jepun. Beliau dijemput untuk membuat persembahan di Tokyo Music Festival pada tahun 1989. Pada masa yang sama, beliau telah melakar sejarah apabila mendapat anugerah platinum untuk album ‘Warna’ pada tahun 1988. Melalui undian yang telah dibuat di dalam akhbar New Straits Times, para pembaca telah memilih beliau sebagai bintang pilihan pembaca selama empat tahun berturut-turut antara 1987 sehingga 1990.

Kelahiran Album Legenda, Ratu dan Ku Mohon

Beliau telah memulakan sebuah lagi projek pada tahun 1990 menerusi album keempatnya, ‘Legenda’ yang menampilkan lagu-lagu klasik yang diilhamkan daripada idolanya, P. Ramlee. Menerusi album ini, selain daripada lagu ‘Lagenda’, terdapat lagu-lagu P. Ramlee yang kembali mencapai status lagu hit hasil daripada sentuhannya. Walaupun ada yang mengkritik, namun lagu ‘Bila Larut Malam’, ‘Tiru Macam Saya’, ‘Manusia’ dan ‘Bunyi Gitar’ telah mencipta gaya baru dalam generasi muda ketika itu. Beliau telah dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dalam satu penghormatan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IX. Sehingga kini, album Legenda kekal sebagai album terlaris beliau dan disokong oleh seluruh negara yang merangkumi lebih daripada dua tahun. Selepas itu, beliau mengadakan konsert di Stadium Negara, Kuala Lumpur yang menarik perhatian penonton yang lebih daripada 10,000 orang. [perlu rujukan]

Untuk album studio yang kelima iaitu ‘Ratu’ pada tahun 1996, beliau telah bekerjasama dengan beberapa pemuzik antarabangsa seperti Nathan East dari Amerika, Kumpulan Fourplay dan Rex Goh, serta Aska Kaneko dari Jepun. Beliau telah mengadakan konsert sehingga melewati kota London di West End di Royalty Theatre pada Mac 1996. [perlu rujukan] Kejayaan konsert tersebut menjadi kebanggaan pencinta muzik Malaysia, khususnya dalam kalangan peminat tegar beliau. Pada bulan Disember, iaitu tahun yang sama, beliau telah menerima jemputan oleh Ronnie Scott untuk tampil ke pentas.

Selepas pengeluaran album studio keenam beliau, ‘Ku Mohon’ telah dikeluarkan pada bulan November 1999. Beliau telah merangkul empat anugerah, terutamanya untuk ‘Album Pop Terbaik’ pada Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 2000. ‘Ku Mohon’ juga merupakan salah sebuah lagu yang terdapat di dalam album beliau dan liriknya adalah hasil ciptaan pertamanya telah menjadi Song of the Year.

Kejayaan Sebagai Seorang Penyanyi dan Pengusaha Spa

Pada bulan Julai 2000, beliau telah menjadi artis tempatan pertama yang pernah mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas. Pada malam kedua, tiket untuk konsert tersebut telah habis dijual. Konsert tersebut juga adalah sempena ulang tahun kelima belas beliau dalam industri muzik. [perlu rujukan] Pada bulan November 2001, beliau telah dijemput untuk mewakili Malaysia pada konsert Diva S.E.A. di Jakarta.

Pada bulan Oktober 2003, beliau telah dijemput untuk mengadakan konsert secara langsung oleh TransTV di Malaysia. Rancangan yang bertempoh selama dua jam, adalah bertajuk ‘Konsert Perjalanan Seni Sheila Majid’.

Perkara ini juga merupakan permulaan kepada pengeluaran album studionya yang ketujuh yang bertajuk ‘Cinta Kita’. Menerusi album itu yang diterajui oleh Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd. yang menyaksikan beliau bekerjasama dengan beberapa pemuzik Indonesia seperti Andi Bapak, Tangkak dan Indra yang secara kolektifnya telah menyumbang sebanyak 80% dari segi pengeluaran album. Sehingga kini, kedua-dua album serta single pertama, ‘Kerinduan’ telah mencapai nombor satu di Malaysia.

Pada Julai 2006, beliau telah mengadakan konsert mini di Planet Hollywood Kuala Lumpur. Konsert ini adalah konsert khas untuk meraikan ulang tahun ke-20 beliau di dalam industri muzik. Tidak hanya bergantung pada kerjaya nyanyian beliau, beliau bersama-sama dengan kakaknya, Datin Shahidah binti Abdul Majid telah membuka spa kecantikan sendiri di Damansara Heights, Kuala Lumpur yang dipanggil Jentayu Spa pada tahun 2002. Dua tahun kemudian, beliau dan suaminya, Acis telah bekerjasama dan memulakan studio latihan mereka sendiri yang dikenali sebagai Studio Akarkarya di Damansara Uptown, Petaling Jaya. Setelah mencuba dan berusaha sendiri selama 10 tahun, akhirnya beliau telah berjaya menghasilkan produk kecantikannya sendiri iaitu Jerneh, yang juga mendapat sambutan hangat. Kini, beliau tinggal dengan ibunya, Saadiah binti Adam di Damansara Heights, Kuala Lumpur.[perlu rujukan]